Hari ni semua umat Islam di seluruh dunia akan menyambut hari yang amat mulia iaitu sambutan Aidiladha di mana namanya berbeza-beza di seluruh dunia seperti kalau di Malaysia selalu kita panggil Hari Raya korban atau Hari Raya Haji, ada yang memanggil sebagai Iduladha, kalau di negara arab di kenali sebagai Eid Ul Adha dan pelbagai lagi nama namun apa yang penting adalah betapa pentingnya kita meraikan Aidiladha ini. Aidiladha akan disambut oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia sempena memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim a.s terhadap anaknya Nabi Ismail a.s dan semestinya kita telah mempelajari tentang peristiwa penting ini sejal dari kecil lagi dan ianya disambut setiap tahun pada 10 Zulhijjah kalendar hijrah. Aidiladha amat penting kerana pada masa inilah himpunan terbesar umat Islam di seluruh dunia akan berlaku iaitu menunaikan rukun Islam kelima iaitu fardhu Haji, di mana pada masa inilah seluruh umat Islam yang mampu akan berkumpul di kota Mekah untuk bersama-sama mengerjakan ibadah yang amat suci ini. Seluruh umat Islam akan berkumpul tidak kira bangsa dan darjat mereka bersama-sama bermula dengan Wukuf di Arafah. Pada masa inilah semua yang mengerjakan Haji akan memakai pakaian yang sama iaitu ihram berkumpul di bawah matahari yang terik dan ketika inilah mereka akan sama-sama berdoa dan berzikir memuji Allah SWT bersama-sama, begitu indah keadaannya ketika itu dan signifikannya adalah supaya umat Islam dapat merasai bagaimana suasana di padang masyhar nanti, dan selepas itu mereka akan melakukan beberapa ibadah lagi seperti melontar jamrah, saei haji, tawaf haji dan bercukur sehingga tamat ibadah haji mereka yang akan berterusan sehingga 13 Zulhijjah. Umat Islam lain yang tidak dapat menunaikan fardhu haji pula akan meraikan Aidiladha di tempat masing-masing dengan bermula solat sunat Aidiladha dan kemuncaknya melakukan ibadah korban seperti korban lembu, kambing, kibas atau unta. Semoga Aidiladadha tahun ini akan menambahkan keimanan kita kepada Allah SWT dengan lebih mendalam lagi dan terus mengingati Rasulullah SAW setiap masa. Ambillah iktibar dari peristiwa korban ini sebagai satu pengajaran yang amat berguna, jika kita taat akan perintah Allah SWT nescaya Allah SWT pasti akan membalas kita dengan pelbagai nikmat dan kurniaan dari-Nya.
No comments:
Post a Comment